MAKLUMAT LINUS

LATAR BELAKANG PROGRAM LINUS

Y.A.B Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin telah membentangkan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) Kementerian Pelajaran Malaysia pada bulan Ogos 2009. KPM menyedari bahawa isu asas Literasi dan Numerasi masih belum dapat diatasi sepenuhnya walaupun telah dilaksankan pelbagai program pemulihan. Program Literasi dan Numerasi merupakan satu program kesinambungan daripada program sedia ada dan dirancang dengan lebih teliti dan sistematik. KPM telah menyasarkan bahawa semua murid yang tiada masalah pembelajaran berkeupayaan untuk menguasai asas Literasi dan Numerasi sebelum berakhir persekolahan tahap 1. Sasaran NKPI tersebut telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 yang melibatkan murid Tahun 1 di sekolah rendah. Kohort pertama program LINUS dijangka akan mencapai sasaran 100% pada tahun 2012 (kecuali murid berkeperluan khas).

 MENTAKRIFKAN  ASAS LITERASI DAN NUMERASI

Literasi ditakrifkan sebagai keupayaan membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat yang mudah dan kompleks dalam Bahasa Malaysia dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian.( Berdasarkan takrifan UNESCO )

Numerasi ditakrifkan sebagai keupayaan membaca, menulis, mengira dan menyusun nombor sehingga 1000, menjadi cekap dalam operasi matematik seperti menambah, menolak, mendarab dan membahagi dan dapat mengaplikasikannya dalam operasi wang, masa dan ukuran panjang.              (Berdasarkan kepada penanda aras dari Amerika Syarikat dan Kanada)

STRATEGI UNTUK MENCAPAI SASARAN LITERASI DAN NUMERASI

Bagi mencapai sasaran ini, Program LINUS telah dibangunkan bagi memastikan murid memperoleh kemahiran dan asas Literasi dan kemahiran asas Numerasi. Tumpuannya adalah kepada usaha utama bagi meningkatkan tahap Literasi dan Numerasi murid dan dihuraikan seperti berikut:
  • Proses Saringan: Saringan dijalankan tiga kali setahun iaitu pada bulan Mac, Jun, dan September bagi membantu mengenal pasti murid yang tidak mencapai standard yang berkaitan. Murid  tersebut akan mengikuti Program LINUS atau Program Pendidikan Khas.
  • Modul pengajaran dan pembelajaran: Modul ini berasaskan beberapa konsep untuk membolehkan murid menguasai Literasi dan Numerasi. Konsep yang diambil kira ialah pendekatan Literasi dan Numerasi secara bersepadu, ansur maju, didik hibur, penggabungjalinan dan pengulangan. Modul ini memuatkan beberapa maklumat berhubung dengan senarai kemahiran yang perlu diajar serta cadangan aktiviti dan latihan.
  • Pengukuhan amalan pedagogi: Menyedari kekurangan guru pakar dalam pengajaran asas Literasi dan Numerasi, latihan guru secara intensif dilaksanakan bagi mengukuhkan ilmu pengetahuan dan pedagogi serta mengenal pasti murid pelbagai kebolehan dan menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.
  • Membina komitmen bagi semua pihak berkepentingan: Program dan aktiviti kesedaran akan dianjurkan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Guru Besar, ibu bapa, Persatuan Guru dan orang ramai bagi mendapatkan sokongan dan memenuhi peranan masing-masing dalam menjayakan Program LINUS.
  • Memantau dan menyelia: Pemantauan dan penyeliaan secara intensif akan membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan seterusnya melakukan proses penambahbaikan.
  • FasiLINUS di peringkat daerah: Merupakan Pegawai FasiLINUS yang diberi tanggungjawab untuk membantu guru Literasi dan Numerasi di sekolah dan ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah. Selain melatih dan membimbing guru-guru LINUS, mereka akan membantu sekolah membangunkan strategi yang bersesuaian berdasarkan keputusan saringan untuk menangani isu khususnya terhadap Literasi dan Numerasi. Mereka turut berperanan sebagai pengantara kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah-sekolah di bawah seliaannya.

OBJEKTIF

  1. Menggariskan bidang tugas mengikut keutamaan dan berfokus kepada sasaran yang ditetapkan iaitu 100% murid Tahap 1 menguasai asas Literasi dan Numerasi.
  2. Memastikan pelaksanaan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) dapat diselaraskan di seluruh negara berdasarkan strategi-strategi yang telah ditetapkan.
  3. Memberi kefahaman dan meningkatkan motivasi kendiri dalam pelaksanaan Program Literasi dan Numerasi (LINUS).
  4. Memastikan semua pihak akur kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

 STRATEGI PELAKSANAAN LINUS
 Terdapat enam strategi:
1.Melaksanakan saringan terhadap murid pada tahun 1, 2, dan 3.
2.Melaksanakan fokus intervensi bagi menyediakan program pemulihan dan komprehensif.
3.Meningkatkan kemahiran pedagogi guru.
4.Melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis 
  dan mengira dalam kalangan warga dan komuniti.
5.Menjalankan pemantauan, penyeliaan dsan penilaian, dan
6.Mewujudkan jawatan fasiLINUS di Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru  dan 
   memastikan murid berupaya membaca, menulis dan mengira.   

No comments:

Post a Comment